Friday, October 14, 2011

Kisah Syeikh Yazid dan pemuda syurga^^

Assalamualaikum w.b.t.

Al-kisah pada suatu hari terdapat seorang ulama' di sebuah kota bernama Syeikh Yazid bermimpi beliau memakan buahan syurga bersama seorang pemuda. Pada keesokannya, beliau menceritakan kisah mimpi tersebut kepada anak-anak muridnya.

"Adakah kamu fikir aku perlu mencari siapakah gerangan orang yang bersamaku di dalam syurga itu?", kata Syeikh Yazid kepada anak-anak muridnya.

"Ya, kami rasa Tuan Guru harus mencarinya untuk mengetahui kebenaran mimpi tersebut", jawab mereka.

Maka bersiaplah Syeikh Yazid menuju ke sebuah kota yang dirasakan bahawa pemuda syurga tersebut berada. Pabila sampai di pinggir kota, beliau menanyakan tentang perihal pemuda tersebut kepada seorang gembala kambing.


"Adakah Tuan datang ke sini semata-mata untuk berjumpa dengannya?" tanya gembala kambing tadi.
"Ya. Kerana dialah aku ke mari. Bolehkah kamu membawaku berjumpa dengannya?"
"Aku rasa, sebaiknya Tuan pulang kerana aku tidak akan membawa Tuan kepadanya." Jawabnya lagi.

Syeikh Yazid masih dengan misinya untuk mencari si fulan tersebut. Maka dia pun masuklah ke kota. Setiap orang yang ditanyakan perihal pemuda tersebut pasti akan melarikan diri untuk tidak memberitahu di mana pemuda tersebut berada. Di fikiran Syeikh Yazid sangatlah tertanya-tanya kenapa sebegini rupa.

Dengan perasaan ingin tahu, dia pun tekad memeluk erat seorang lelaki dengan kemasnya sehingga tidak mahu melepaskan pemuda tersebut.

"Katakan kepadaku di manakah pemuda tersebut. Barulah aku akan lepaskan kamu."
"Baiklah tapi lepaskanlah aku dahulu", jawab pemuda tersebut.
"Sesungguhnya tidak layak Tuan yang alim ingin berjumpa dengannya. Namun jika tuan mahu juga berjumpanya, maka pergilah Tuan ke kedai arak di depan sana. Maka Tuan akan berjumpa dengan apa yang Tuan cari."

Dengan serta merta, Syeikh Yazid pun menuju ke kedai arak tersebut. Maka amat terkejut sekali apabila didapati bahawa pemuda yang bersamanya di syurga berada di tempat yang dipenuhi maksiat. Kedai yang menjual arak dan dipenuhi pelayan-pelayan wanita. Sehinggalah beliau memutuskan untuk menamatkan pencariannya. Namun sebelum sempat langkahan kakinya menuju keluar, beliau mendengar suatu suara memanggilnya.

"Syeikh Yazid, kemana kamu ingin pergi? Duduklah bersamaku. Bukankah kamu sangat ingin berjumpa denganku sehingga membuatkan kamu kemari?"

Sungguh terkejut Syeikh Yazid bila melihat pemuda syurga yang bersamanya adalah seorang yang sedang mabuk. Pemuda tersebut berkata lagi.

"Apa yang kamu lihat ini adalah bukan aku yang sebenarnya. Aku tidak minum arak, tapi aku di sini adalah untuk mendakwah orang-orang di sini kembali ke jalan yang benar. Sebenarnya bukan aku seorang sahaja bersama denganmu di syurga, tetapi masih ada 80 orang semuanya. 40 orang sudah aku pulihkan dari hanyut dari maksiat ini, dan selebihnya adalah tanggungjawab kamu pula. Aku sudah pun mahu pulang."

Begitulah kisah Syeikh Yazid dan mimpinya bersama seorang pemuda di syurga.

Melalui kisah ini, dapatlah kita ambil ibrah bahawa tanggungjawab kita bukan untuk memastikan kita sahaja menuju syurga Allah, tetapi kita juga perlu mengajak orang lain bersama. Walaupun kita rasa diri kita sudah cukup baik dan soleh itu tidak cukup untuk membawa kita ke syurga sekiranya umat Islam yang lain hanyut menuju neraka, nauzubillah. Maka janganlah hanya bersahabat dengan orang yang baik-baik sahaja. Cubalah dekati orang yang jauh dari Allah dan mengajaknya untuk mendekati Ilahi.


Contohnya dalam kehidupan sebagai seorang doktor muslim, kita bukan sahaja merawat penyakit fizikal tetapi juga merawat rohani pesakit. Betapa bertuahnya sebagai seorang doktor, orang akan datang kepada kita untuk dirawat dan kita tidak perlu mencarinya. Maka ambillah peluang ini untuk berdakwah. Sesungguhnya sangat ramai umat Islam yang sesat dan tidak mengamalkan ajaran Allah di luar sana.

Kisah di atas diceritakan oleh profesor paediatrics saya di dalam kuliah Child Abuse. Terasa sangat berat tanggungjawab yang saya akan pikul bila keluar sebagai seorang doktor muslimah nanti. Saya akan bercampur dengan masyarakat yang punya pelbagai latar belakang. Selama ini saya berada dalam zone yang selesa. Tidak ter-expose dengan orang-orang yang 'pelik'. Semoga saya akan kuat dan tabah untuk menghadapi dugaan ini...Amin.

No comments:

Post a Comment

love


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

palastine