Tuesday, August 16, 2011

al-QuRaN: AdaKaH SeKaDar LemBaRan u DiBaCa??


Assalamualaikum w.b.t.

Ramadhan kali ini sudah pun bakal mengakhiri fasa ke-2nya. Dalam fasa ini, terdapat satu tarikh istimewa...17 Ramadhan di mana Allah telah menurunkan al-Quran. Sewajarnya umat Islam memperingati tarikh ini kerana kitab al-Quran adalah mukjizat terbesar Rasulullah s.a.w kepada kita yang di dalamnya terdapat petunjuk dan pembeza untuk kita gunakan.



“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [al-Baqarah (2):185].

Adakah al-Quran sekadar untuk diperingati dan dibaca?

Sempena Nuzul al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman dan taqwa memuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari al-Quran atau lebih teruk mengabaikan al-Quran? Apakah selama ini al-Quran telah benar-benar menjadi petunjuk, sumber hukum dan sekaligus sebagai penyelesaian masalah kehidupan hidup kita?

Kebanyakan kita berusaha menjaga fizikal al-Quran seperti tidak meletakkan al-Quran di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Bagaimana pula dengan rohnya al-Quran itu sendiri? Adakah kita memahami dan mengamalkan hukum-hakamnya? Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri 'menghina' al-Quran dengan tidak mengamalkan hukum yang terdapat di dalamnya. Umat Islam sakit hati apabila al-Quran dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran al-Quran. Nauzubillah....minta Allah jauhkan.

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. [al-Jumu‘ah (62):5].

Melalui ayat di atas, Allah menghina kaum yang tidak memikul wahyu yang diturunkanNya dengan perumpamaan seperti keldai! Adakah kita seperti keldai yang diumpamakan Allah??? Tepuk dada tanyalah iman. Sungguh gerun bukan sekiranya keldai yang diumpamakan oleh Allah adalah kita sendiri.

'Kitab Mistik'

Sebahagian lain dari kalangan kita menjadikan al-Quran sebagai 'kitab mistik'. Al-Quran disimpan baik-baik di rumah dan digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik misalnya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Malangnya al-Quran tidak dijadikan 'pengusir' pelbagai anasir kufur yang diterapkan dalam masyarakat Islam sekarang. Sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya;

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara; jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Akhir kalam

Marilah kita sama-sama renungi sepotong hadith Rasulullah s.a.w ini. Semoga selepas ini kita sama-sama menjadi umat yang memelihara al-Quran luar dan dalam. Sememangnya untuk mengamalkan semua hukum-hakam di dalam al-Quran memerlukan 1 penyatuan ummah, namun kita masih perlu berusaha memahami dan melakukan apa yang termampu seperti yang disuruh Allah untuk diri kita sendiri seperti menutup aurat, menjaga pergaulan, menghormati ibu-bapa dan lain-lain. Salamat memasuki fasa ke-3 Ramadhan pula dari penulis.


Dari Ali, radhiaAllahu ‘anhu, katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda: “Awaslah, sesungguhnya akan berlaku fitnah”. Aku bertanya: “Apakah jalan keluar darinya ya Rasulullah?” Baginda menjawab: Kitabullah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah apa yang sebelum kamu dan pengkhabaran apa yang akan datang sesudahmu; dan hukum-hakam di antara kamu; Ia (Al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa sahaja yang meninggalkannya kerana sombong, akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dari selainnya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran yang bijaksana; Ia adalah As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar atau berputar belit; dan para ulama pula tidak pernah puas darinya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata “Sesungguhnya kami mendengar bacaan Al-Qur’an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya.”; sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; dan sesiapa sahaja yang beramal dengannya, pahalalah ganjarannya; dan sesiapa sahaja yang berhukum dengannya, adillah ia; dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya ia menunjuk kepada Siratil Mustaqim (jalan yang lurus).” [HR Tirmizi dan Darimi].

No comments:

Post a Comment

love


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

palastine